* These statements have not been evaluated by the Food and Drug Administration. These products are not intended to diagnose, treat, cure, or prevent any disease.*

Sunday 22 May 2011

Maharaja Lawak Episod Kelapan




Pengacara:
AC Mizal


Juri:
Mamat Khalid, Ahmad Idham & Saiful Apek


Peserta - Peserta:


Penyingkiran:
Man


Ulasan Hans:

Pada episod kali ini, persembahan kebanyakan para peserta pada minggu kelapan ini bagi aku lebih menarik dan menghiburkan kerana masing - masing kini bersaing hebat sesama sendiri untuk mendapatkan undian sms daripada penonton. Jadi, aku akan memberi komen ringkas kepada semua aksi peserta maharaja lawak mengikut urutan persembahan mereka pada episod ke-8 ini.

Nabil


Persembahan pembukaan pada minggu ini dimulai dengan Nabil dimana persembahannya banyak berkisarkan tentang kecanggihan teknologi yang melibatkan jaringan sosial iaitu twitter dan facebook yang dijadikan sebagai bahan lucunya pada kali ini. Permulaan persembahannya hambar namun kembali menarik sehingga ke akhir. Namun, aku suka dengan persembahannya yang bersahaja dan bagaimana cara dia berinteraksi dengan penonton walaupun lawaknya pada minggu ini tidak lah mampu untuk mengundang ketawa yang besar daripada aku. Bagaimanapun, rasa - rasanya Nabil telah membuang banyak masa persembahannya dengan menjadikan Amir iaitu peserta maharaja lawak yang tersingkir pada minggu lepas sebagai salah satu bahan jenakanya dan kemungkinan juga Nabil sedar persembahannya pada minggu ini kurang memikat hati penonton melalui kata - kata akhirnya sebelum menghabiskan persembahannya pada minggu ini. Apa - apapun, tahniah aku ucapkan pada Nabil kerana bukan senang untuk membuat penonton ketawa kerana Stand Up Comedy sememangnya mencabar.




Jambu



Persembahan Jambu pada minggu ini sangat kelakar. Menjadikan robot persis manusia sebagai subjek utama persembahan mereka sememangnya mengundang hilai tawa yang bukan sedikit daripada aku serta penonton - penonton yang lain. Sememangnya ini adalah satu persembahan yang unik dan memukau apabila melihat keletah Yus sebagai sebuah robot yang mampu bercakap bahasa Thai, melatah, menyanyi dan mempunyai perasaan seperti manusia. Dibantu oleh mimik muka dan gaya bersahaja oleh mereka berdua sememangnya seperti biasa berjaya memikat hati penonton untuk menonton sehingga tamat sambil tidak henti - henti ketawa dengan aksi lucu mereka. Apa - apapun, satu persembahan yang cukup menghiburkan dan tahniah kepada Tauke serta Yus kerana memberi persembahan yang betul - betul mantap. Tahniah Jambu!


Kumpulan R2


Kumpulan R2 kembali berentap pada minggu ini apabila mereka diundi masuk oleh para penonton maharaja lawak melalui undian di laman facebook. Kemasukan mereka tidak sia - sia kerana mereka memberi satu persembahan yang cukup menarik dan menghiburkan. Mengangkat karakter si pengemis sebagai watak utama persembahan mereka sememangnya membuatkan persembahan mereka begitu menjadi semalam. Seperti biasa persembahan si abang sememangnya lucu ditambah dengan wajahnya yang selamba manakala si adik juga sudah memperbaiki persembahannya dan kelihatan semakin bagus. Apa - apapun, pasangan adik beradik ini sememangnya telah bersedia sebaiknya untuk kembali berentap di dalam Maharaja Lawak dan semoga mereka mampu memberi saingan kepada kumpulan - kumpulan lain. Tahniah kumpulan R2. Persembahan anda memang menarik minggu ini.




Man



Persembahan Man pada minggu ini tidak lah terlalu menarik dan tidak lah seteruk mana. Senang cakap persembahan Man biasa - biasa sahaja pada episod kali ini. Masih ada lucunya tetapi kekuatannya lawaknya tidak kuat kerana lawak berkenaan atuk ini selalu sangat aku tonton pada pelawak - pelawak lain sebelum ini di kaca televisyen. Apa - apapun, Man sangat hebat kerana mampu bertahan sehingga minggu kelapan secara individu. Tahniah Man. Semoga berjaya pada masa hadapan. Man pasti boleh!




Kumpulan Jozan



Persembahan kumpulan Jozan pada minggu ini memang menghiburkan yang melibatkan situasi antara doktor dan pesakit yang sedang mendapatkan rawatan. Gaya mereka sangat lucu namun ia mengingatkan aku pada satu episod siri pelawak luar negara yang terkenal iaitu Mr Bean dimana ada satu episod yang menunjukkan Mr Bean sedang mendapatkan rawatan Doktor Gigi dan situasi serta lawak itu lebih kurang sama seperti persembahan kumpulan Jozan pada minggu ini. Mungkin mereka mengambil inspirasi daripada episod itu untuk persembahan mereka pada minggu ini. Apa - apapun, aku masih terhibur dengan persembahan mereka berdua. Moga minggu depan persembahan mereka akan semakin menghiburkan. Tahniah kumpulan Jozan.




Kumpulan Balas



Persembahan kumpulan Balas pada minggu ini mendapat kritikan yang agak hebat daripada penonton. Seperti kita sedia tahu kumpulan Balas memang terkenal dengan lawak Double Meaning mereka dan apabila minggu ini mereka bertukar menjadi murid sekolah rendah sememangnya lawak Double Meaning itu ada pro dan kontranya. Hakikatnya perkara itu sememangnya wujud cuma seperti kita sedia maklum program seperti ini bukan sahaja ditonton oleh golongan dewasa tetapi juga  kanak - kanak yang masih belum pun bersekolah lagi. Bagi aku yang sudah dewasa dari segi umur, aku tiada masalah dengan lawak mereka dan terhibur menonton cuma takut ia menjadi ikutan pada anak - anak kecil sahaja kerana sifat ingin tahu anak - anak kecil adalah tinggi. Apa - apapun, kumpulan Balas seharusnya lebih berhati - hati dalam pengisian persembahan mereka dan moga pada minggu hadapan persembahan mereka lebih menarik dan matang. Semoga berjaya kumpulan Balas.




Kumpulan Sepah



Persembahan kumpulan Sepah pada minggu ini sangat kelakar dan ada mesej yang tersendiri. Menjadikan amalan rewang sebagai tema persembahan mereka pada minggu ini sememangnya memberikan kelas yang tersendiri kepada persembahan kumpulan Sepah pada minggu kelapan ini. Tak tahu nak komen apa dah sebab bagi aku lawak mereka minggu ini memang menarik dan menunjukkan budaya negatif dan positif orang Malaysia yang boleh kita ambil pengajaran selain bergelak ketawa melihat gelagat ketiga - tiga mereka ini. Tahniah kumpulan Sepah. Lawak yang ada pengajaran dan sangat menarik.

 Peserta Pilihan Hans Untuk Minggu Kelapan :

  1. Sepah
  2. Jambu
  3. R2
  4. Jozan
  5. Balas
  6. Nabil
  7. Man
P/S : Masing - Masing Ada Citarasa Tersendiri.

No comments:

Post a Comment

...Saya Suka Cantik & Sihat...