* These statements have not been evaluated by the Food and Drug Administration. These products are not intended to diagnose, treat, cure, or prevent any disease.*
Showing posts with label Gosip. Show all posts
Showing posts with label Gosip. Show all posts

Sunday, 29 May 2011

Maharaja Lawak Episod Kesembilan




Pengacara:
AC Mizal

Juri:
Mamat Khalid, Ahmad Idham & Saiful Apek

Peserta - Peserta:
Rujuk Sini

Penyingkiran:
Balas

Ulasan Hans:
Pada episod kali ini, tema yang diberi adalah persembahan bersama pelawak terkenal yang dipilih oleh juri sendiri untuk dipadankan dengan setiap peserta. Persembahan kebanyakan para peserta pada minggu kesembilan ini bagi aku lebih menarik dan menghiburkan kerana masing - masing kini bersaing hebat sesama sendiri untuk mendapatkan undian sms daripada penonton. Jadi, aku akan memberi komen ringkas kepada semua aksi peserta maharaja lawak mengikut urutan persembahan mereka pada episod ke-9 ini.


Kumpulan R2


Persembahan pembukaan pada kali ini dimulakan oleh kumpulan R2 yang berpasangan dengan pelawak terkenal iaitu Sathiya atau Baby Face dengan mempertaruhkan lawak persis program Bang Bang Boom atau Wakenabeb dan persembahan mereka malam ini banyak diselamatkan oleh Sathiya yang menggunakan sepenuhnya pengalaman yang beliau ada untuk membantu memantapkan persembahan kumpulan ini. Menarik dan lucu cuma unsur humor itu lebih banyak disumbangkan oleh si abang berbanding si adik. Apa - apapun, satu persembahan yang masih menarik dengan idea yang lucu. Tahniah kumpulan R2 atas persembahan kalian yang menghiburkan dan tahniah juga kepada Sathiya atas lawaknya yang begitu selamba.

Kumpulan Balas

Persembahan kumpulan Balas pada minggu ini pula sangat mengecewakan tidak seperti minggu - minggu yang lain. Dibantu oleh pelakon yang juga terkenal dengan aksi komedinya iaitu Ngasrizal Ngasri namun tidak ada banyak yang dapat dibantu olehnya. Permulaan persembahan mereka teramatlah mendatar dan tepukan daripada penonton itu mungkin disebabkan 'paksaan' oleh floor manager untuk memeriahkan suasana. Kemasukan Syukri membawa sedikit jenaka tetapi ia tidak lama kerana kemudiannya persembahan mereka kembali suram seperti permulaan sehingga membawa ke akhir persembahan mereka. Jalan cerita untuk persembahan mereka kali ini sangat kosong hingga menyebabkan aku berkata,"Apa sebenarnya mereka cuba buat nih?". Tidak ada rehearsal kah? Kebuntuan idea? Bertahan selama 9 minggu dengan hampir 2 atau 3 persembahan sebelum ini mempertaruhkan kekuatan kisah Makcik Karipap tetapi akhirnya 'kekuatan' ini jugalah yang memusnahkan persembahan mereka pada minggu ini.

Kumpulan Sepah

Persembahan kumpulan Sepah pada minggu ini yang bertemakan tentang adat merisik sangat menarik dan terbaik dengan nilai - nilai kemelayuan yang ditonjolkan serta mesej yang pelbagai dan sememangnya bijak disampaikan oleh mereka di dalam versi komedi. Dibantu oleh pelawak veteran yang terkenal iaitu A.R. Badul memang tidak dapat dinafikan lagi bahawa ini merupakan satu kombinasi yang bijak dan cukup mantap. Gandingan mereka berempat membuatkan aku ketawa seorang diri dan kelihatannya mereka memang membantu antara satu sama lain dan cukup serasi. Tahniah kumpulan Sepah. Persembahan kalian tidak pernah mengecewakan. Semoga mampu menjadi juara Maharaja Lawak. Tahniah sekali lagi dan tidak lupa juga kepada A.R Badul kerana masih mampu memberi yang terbaik sekali gus menjadikan persembahan kumpulan Sepah tidak jemu untuk ditonton berulang kali.


 Nabil
 
Persembahan Nabil pada minggu kesembilan ini bagi aku seperti suam - suam sahaja. Bukannya maksud aku tidak wujud rasa lucu itu tetapi lawak beliau kali ini yang dibantu oleh pelakon wanita komedi tanah air iaitu Sharifah Shahira lambat panas dan apabila panas cepat pula menjadi suam dan kemudian sejuk sebelum kembali semula ke tahap yang 'suam' sahaja. Mungkin Nabil terlalu paranoid pada penyingkiran minggu lepas sehingga terlalu kerap menjadikan isu itu sebagai 'bahan penyelamat' dalam persembahannya pada kali ini namun jenakanya minggu ini kurang menyengat. Sesekali melawak dengan mengambil isu pada minggu lepas iaitu tentang penyingkiran tidak ada masalah tetapi apabila terlalu kerap digunakan ia akan mengundang kebosanan pada yang menonton. Diharap Nabil kembali dengan persembahan yang memukau seperti sebelum ini pada minggu hadapan.

Kumpulan Jambu

Persembahan kumpulan Jambu pada minggu ini bagi aku sangat unik dan begitu lucu. Senang cakap bahasa bukanlah ukuran untuk membuatkan orang ketawa. Memang menarik dan menghiburkan untuk ditonton. Aku suka mendengar bahasa rekaan mereka ini kerana walaupun aku tahu mereka pun sebenarnya tak tahu pun apa yang mereka cakap(maksud aku disini bahasa perantaraan yang kononnya berasal dari Sungai Amazon) tetapi ia kelihatan seperti betul - betul wujud. Dibantu oleh Acong Sweetchild yang selain dari menyanyi juga terkenal sebagai pelakon komedi sememangnya amat mengagumkan aku kerana beliau mampu berlakon seperti biasa tanpa ketawa walaupun Yus banyak kali juga tidak mampu menahan tawa akibat bahasa - bahasa yang terhasil dari mulut mereka beliau dan Acong. Tahniah kumpulan Jambu! Sangat menghiburkan!


Kumpulan Jozan


Persembahan terakhir pada minggu ini berjaya dipersembahkan dengan begitu jayanya oleh kumpulan Jozan yang bergandingan dengan pelakon Kenchana Dewi. Johan yang memang hebat di dalam meniru gaya sebahagian artis atau insan popular nampaknya sekali lagi berjaya meniru perwatakan Mamat Khalid dengan begitu bagus sekali dan Zizan sekali lagi tampil dengan karakter paling terkenal dan menjadi kekuatan Zizan di dalam Maharaja Lawak iaitu Mail Lambung yang memang cukup menyakinkan. Sungguh menarik melihat aksi mereka bertiga cuma aku sedikit terganggu dengan aksi Kenchana Dewi yang kadang - kadang membuatkan Johan kelihatan kurang selesa sewaktu berlawak. Apa - apapun, memang menarik dan menghiburkan. Tahniah kumpulan Jozan!

Peserta Pilihan Untuk Minggu Kesembilan :
  1. Sepah, Jambu & Jozan


  2. R2
  3. Nabil
  4. Balas
P/S : Masing - Masing Ada Citarasa Tersendiri.

Sunday, 22 May 2011

Maharaja Lawak Episod Kelapan




Pengacara:
AC Mizal


Juri:
Mamat Khalid, Ahmad Idham & Saiful Apek


Peserta - Peserta:


Penyingkiran:
Man


Ulasan Hans:

Pada episod kali ini, persembahan kebanyakan para peserta pada minggu kelapan ini bagi aku lebih menarik dan menghiburkan kerana masing - masing kini bersaing hebat sesama sendiri untuk mendapatkan undian sms daripada penonton. Jadi, aku akan memberi komen ringkas kepada semua aksi peserta maharaja lawak mengikut urutan persembahan mereka pada episod ke-8 ini.

Nabil


Persembahan pembukaan pada minggu ini dimulai dengan Nabil dimana persembahannya banyak berkisarkan tentang kecanggihan teknologi yang melibatkan jaringan sosial iaitu twitter dan facebook yang dijadikan sebagai bahan lucunya pada kali ini. Permulaan persembahannya hambar namun kembali menarik sehingga ke akhir. Namun, aku suka dengan persembahannya yang bersahaja dan bagaimana cara dia berinteraksi dengan penonton walaupun lawaknya pada minggu ini tidak lah mampu untuk mengundang ketawa yang besar daripada aku. Bagaimanapun, rasa - rasanya Nabil telah membuang banyak masa persembahannya dengan menjadikan Amir iaitu peserta maharaja lawak yang tersingkir pada minggu lepas sebagai salah satu bahan jenakanya dan kemungkinan juga Nabil sedar persembahannya pada minggu ini kurang memikat hati penonton melalui kata - kata akhirnya sebelum menghabiskan persembahannya pada minggu ini. Apa - apapun, tahniah aku ucapkan pada Nabil kerana bukan senang untuk membuat penonton ketawa kerana Stand Up Comedy sememangnya mencabar.




Jambu



Persembahan Jambu pada minggu ini sangat kelakar. Menjadikan robot persis manusia sebagai subjek utama persembahan mereka sememangnya mengundang hilai tawa yang bukan sedikit daripada aku serta penonton - penonton yang lain. Sememangnya ini adalah satu persembahan yang unik dan memukau apabila melihat keletah Yus sebagai sebuah robot yang mampu bercakap bahasa Thai, melatah, menyanyi dan mempunyai perasaan seperti manusia. Dibantu oleh mimik muka dan gaya bersahaja oleh mereka berdua sememangnya seperti biasa berjaya memikat hati penonton untuk menonton sehingga tamat sambil tidak henti - henti ketawa dengan aksi lucu mereka. Apa - apapun, satu persembahan yang cukup menghiburkan dan tahniah kepada Tauke serta Yus kerana memberi persembahan yang betul - betul mantap. Tahniah Jambu!


Kumpulan R2


Kumpulan R2 kembali berentap pada minggu ini apabila mereka diundi masuk oleh para penonton maharaja lawak melalui undian di laman facebook. Kemasukan mereka tidak sia - sia kerana mereka memberi satu persembahan yang cukup menarik dan menghiburkan. Mengangkat karakter si pengemis sebagai watak utama persembahan mereka sememangnya membuatkan persembahan mereka begitu menjadi semalam. Seperti biasa persembahan si abang sememangnya lucu ditambah dengan wajahnya yang selamba manakala si adik juga sudah memperbaiki persembahannya dan kelihatan semakin bagus. Apa - apapun, pasangan adik beradik ini sememangnya telah bersedia sebaiknya untuk kembali berentap di dalam Maharaja Lawak dan semoga mereka mampu memberi saingan kepada kumpulan - kumpulan lain. Tahniah kumpulan R2. Persembahan anda memang menarik minggu ini.




Man



Persembahan Man pada minggu ini tidak lah terlalu menarik dan tidak lah seteruk mana. Senang cakap persembahan Man biasa - biasa sahaja pada episod kali ini. Masih ada lucunya tetapi kekuatannya lawaknya tidak kuat kerana lawak berkenaan atuk ini selalu sangat aku tonton pada pelawak - pelawak lain sebelum ini di kaca televisyen. Apa - apapun, Man sangat hebat kerana mampu bertahan sehingga minggu kelapan secara individu. Tahniah Man. Semoga berjaya pada masa hadapan. Man pasti boleh!




Kumpulan Jozan



Persembahan kumpulan Jozan pada minggu ini memang menghiburkan yang melibatkan situasi antara doktor dan pesakit yang sedang mendapatkan rawatan. Gaya mereka sangat lucu namun ia mengingatkan aku pada satu episod siri pelawak luar negara yang terkenal iaitu Mr Bean dimana ada satu episod yang menunjukkan Mr Bean sedang mendapatkan rawatan Doktor Gigi dan situasi serta lawak itu lebih kurang sama seperti persembahan kumpulan Jozan pada minggu ini. Mungkin mereka mengambil inspirasi daripada episod itu untuk persembahan mereka pada minggu ini. Apa - apapun, aku masih terhibur dengan persembahan mereka berdua. Moga minggu depan persembahan mereka akan semakin menghiburkan. Tahniah kumpulan Jozan.




Kumpulan Balas



Persembahan kumpulan Balas pada minggu ini mendapat kritikan yang agak hebat daripada penonton. Seperti kita sedia tahu kumpulan Balas memang terkenal dengan lawak Double Meaning mereka dan apabila minggu ini mereka bertukar menjadi murid sekolah rendah sememangnya lawak Double Meaning itu ada pro dan kontranya. Hakikatnya perkara itu sememangnya wujud cuma seperti kita sedia maklum program seperti ini bukan sahaja ditonton oleh golongan dewasa tetapi juga  kanak - kanak yang masih belum pun bersekolah lagi. Bagi aku yang sudah dewasa dari segi umur, aku tiada masalah dengan lawak mereka dan terhibur menonton cuma takut ia menjadi ikutan pada anak - anak kecil sahaja kerana sifat ingin tahu anak - anak kecil adalah tinggi. Apa - apapun, kumpulan Balas seharusnya lebih berhati - hati dalam pengisian persembahan mereka dan moga pada minggu hadapan persembahan mereka lebih menarik dan matang. Semoga berjaya kumpulan Balas.




Kumpulan Sepah



Persembahan kumpulan Sepah pada minggu ini sangat kelakar dan ada mesej yang tersendiri. Menjadikan amalan rewang sebagai tema persembahan mereka pada minggu ini sememangnya memberikan kelas yang tersendiri kepada persembahan kumpulan Sepah pada minggu kelapan ini. Tak tahu nak komen apa dah sebab bagi aku lawak mereka minggu ini memang menarik dan menunjukkan budaya negatif dan positif orang Malaysia yang boleh kita ambil pengajaran selain bergelak ketawa melihat gelagat ketiga - tiga mereka ini. Tahniah kumpulan Sepah. Lawak yang ada pengajaran dan sangat menarik.

 Peserta Pilihan Hans Untuk Minggu Kelapan :

  1. Sepah
  2. Jambu
  3. R2
  4. Jozan
  5. Balas
  6. Nabil
  7. Man
P/S : Masing - Masing Ada Citarasa Tersendiri.

Sunday, 15 May 2011

Maharaja Lawak Episod Ketujuh




Pengacara:
AC Mizal


Juri:
Mamat Khalid, Ahmad Idham & Saiful Apek


Peserta - Peserta:


Penyingkiran:
Amir


Ulasan Hans:

Pada episod kali ini, tema yang diberikan adalah Silent Comedy dan persembahan kebanyakan para peserta pada minggu ini bagi aku boleh tahan dan agar menghiburkan kerana bukannya senang untuk berlawak tanpa berkata - kata kerana segalanya bergantung kepada persembahan mereka sendiri. Jadi, aku akan memberi komen ringkas kepada semua aksi peserta maharaja lawak mengikut urutan persembahan mereka pada episod ke-7 ini.


Kumpulan Sepah

Persembahan pembukaan pada kali ini berjaya dipersembahkan dengan hebat sekali oleh Sepah. Menjadikan perbuatan ngangkung sebagai bahan lawak mereka untuk minggu ini sememang berjaya menggeletek hatiku untuk ketawa. Menggunakan hos paip untuk memberi CPR juga agak menarik pada pandangan aku. Paling menghiburkan sewaktu bunyi yang menunjukkan ambulans datang untuk mengambil bomoh tersebut tetapi tiba - tiba tidak jadi berhenti dan bunyinya terus menghilang. Sangat lucu disitu kerana aku tahu ambulans tu tidak berhenti kerana mereka terlihatkan hantu tersebut disitu. Apa - apapun, tahniah kumpulan Sepah. Satu persembahan yang cukup menarik.


Amir


Persembahan Amir pada minggu ini pula aku langsung tak faham sebab bagi aku tak ada kesinambungan daripada lawak pertama hingga ke pengakhiran. Daripada menjadi Matador sehingga kepada penari(mungkin) memang susah untuk memahami lawak Amir ini. Mungkin ada sedikit lucunya pada persembahan beliau tetapi tidak cukup untuk mengatasi lawak - lawak peserta lain.


Kumpulan Balas

Persembahan mereka pada minggu ini boleh tahan menarik cuma mungkin kerana selalu menggambil lawak - lawak daripada persembahan mereka sebelum ini yang boleh aku kategorikan sebagai lawak kitar semula membuatkan unsur humor itu sedikit kurang bagi aku. Apa - apapun, persembahan kumpulan Balas pada minggu ini masih baik dan tidak mengecewakan. Semoga berjaya kumpulan Balas!


Kumpulan Jambu

Persembahan kumpulan Jambu pada minggu ini memang menarik dan terbaik bagi aku. Mengambil tema sukan akuatik dengan menunjukkan aksi - aksi seperti terjun papan anjal, renang dan renang berirama sememangnya berjaya. Memang aksi mereka setaraf aksi pelawak yang aku lihat pada rancangan luar negara seperti Just For Laugh. Kombinasi yang baik dan saling bantu membantu antara Yus dan Tauke menjadikan kedua - dua mereka sama kuat dan hebat dan seterusnya menjadikan persembahan kumpulan Jambu pada minggu ini sangat mantap. Tahniah Jambu! Aku amat bersetuju dengan Mamat Khalid yang mengatakan mereka layak untuk menjadi maharaja lawak dengan persembahan mereka yang hebat begini. Teruskan usaha anda untuk menawan hati pengundi. Semoga berjaya di minggu hadapan!


Nabil


Mungkin sukar bagi Nabil untuk memberikan persembahan yang terbaik pada minggu ini yang berkonsepkan silent comedy. Pertama mungkin kerana beliau bertindak sebagai seorang individu jadi idea yang dijana mungkin kurang atau susah untuk beliau menghidupkan unsur jenaka di dalam persembahannya. Kedua oleh kerana beliau bergerak secara solo jadi beliau tidak mempunyai kelebihan seperti peserta lain yang kebanyakkannya bergerak secara kumpulan dimana setiap ahli boleh bantu membantu sesama lain untuk menghidupkan persembahan mereka. Mungkin Nabil lebih sesuai dengan lawak yang boleh melontarkan vokal berbanding menunjukkan aksi semata - mata. Apa - apapun, moga Nabil kembali dengan persembahan lebih mantap pada minggu hadapan! Selamat maju jaya Nabil.


Man

Persembahan Man pada episod kali menjurus pada semangat patriotik menentang penjajah pada era sebelum kemerdekaan dahulu. Aku tak tahu kenapa tetapi aku suka juga lah dengan lawak Man pada kali ini. Mungkin kerana mesej lawaknya itu ada dan sampai kepada aku. Aksi Man pun boleh tahan jugalah lucunya. Cuma mungkin kehebatan peserta - peserta lain sebelum ini menenggelamkan persembahan Man. Mungkin juga persembahan Man ini sudah selalu sangat dilihat. Man perlu mempelbagaikan lagi persembahannya jika mahu bersaingan dengan peserta - peserta lain. Apa - apapun, tahniah Man! Gembira menonton persembahan anda!


Kumpulan Jozan

Persembahan kumpulan Jozan pada minggu ini juga aku rasa agak menarik walaupun kelihatannya seperti aku pernah terlihat persembahan sebegini. Menjadikan lawak silap mata sebagai persembahan mereka pada minggu ini ternyata sedikit sebanyak menyelamatkan mereka berdua berbanding persembahan pada minggu lepas. Permulaan persembahan mereka agak baik tetapi kemudian bertukar menjadi sedikit hambar pada pandangan aku. Apa - apapun, seronok melihat keletah Johan dan Zizan pada minggu ini. Moga kalian berjaya pada minggu hadapan! Teruskan usaha kalian!


Peserta Pilihan Hans Untuk Minggu Ketujuh :

  1. Jambu
  2. Sepah
  3. Jozan
  4. Balas
  5. Nabil
  6. Man
  7. Amir
P/S : Masing - Masing Ada Citarasa Tersendiri.

Sunday, 8 May 2011

Maharaja Lawak Episod Keenam




Pengacara:
AC Mizal


Juri:
Mamat Khalid, Ahmad Idham & Saiful Apek


Peserta - Peserta:


Penyingkiran:
Tiada


Ulasan Hans:

Pada episod kali ini, tema yang diberikan adalah bebas dan persembahan kebanyakan para peserta pada minggu ini bagi aku sangat menarik dan cukup menghiburkan kerana ada beberapa idea dan persembahan yang agak unik dan segar. Jadi, aku akan memberi komen ringkas kepada semua aksi peserta maharaja lawak mengikut urutan persembahan mereka pada episod ke-6 ini.


Kumpulan Balas


Persembahan kumpulan Balas pada episod kali ini hampir membanggakan aku secara keseluruhannya cuma sayang sekali ianya dihancurkan oleh pengakhiran lawak mereka. Mereka bermula dengan lawak yang bagi aku sangat lain daripada kebiasaan yang selalu mereka persembahkan. Lawak yang mulai menunjukkan kematangan dan cukup selamba. Aku ketawa dengan sendiri tanpa perlu dipaksa cuma aku kecewa apabila tiba di adegan terakhir dimana mereka cuba untuk membuat penonton ketawa dengan lawak yang pernah aku dengari. Aku tidak kisah dengan lawak daripada majalah atau mana - mana sumber pun tetapi seperti sayangnya permulaan yang bagi aku begitu menarik dan tersusun pada permulaan persembahan mereka yang menunjukkan aksi mereka semakin matang musnah di pengakhirannya kerana mungkin tekanan untuk membuatkan penonton ketawa. Apa - apapun, persembahan kumpulan Balas semakin baik dan tahniah diucapkan kepada mereka. Bak kata Ahmad Idham, teruskan kematangan pada permulaan persembahan itu pada minggu berikutnya.


Kumpulan Jozan


Persembahan kumpulan Jozan pada minggu ini bagi aku kurang menarik dan sedikit mengecewakan. Berbanding dengan 3 persembahan terdahulu, aksi mereka pada minggu ini langsung tidak menggeletek hati aku untuk ketawa. Lawak yang dipersembahkan pada minggu ini juga tidak mempunyai sebarang mesej yang boleh dibanggakan. Pada akhir lawak mereka terdapat sedikit aksi lucu tetapi itu masih belum memadai untuk membuktikan mereka layak untuk berada di tangga pertama. Kumpulan Jozan! Tolonglah bangkit kembali dan berikan aksi terbaik kalian! Aku menanti persembahan yang mantap seperti 3 episod terdahulu pada minggu hadapan. Semoga berjaya di minggu seterusnya!


Nabil


Persembahan Nabil pada minggu ini sangat menarik. Menggunakan pendekatan Stand Up Comedian dan bermodalkan GPS sebagai tema persembahannya pada episod kali ini memang tepat dan kena pada masanya. Jikalau minggu lepas Nabil kelihatan tenggelam dengan lawak beliau sendiri namun pada episod kali ini Nabil kembali bangkit dengan aksi yang sangat menghiburkan. Aku ketawa besar apabila tibanya pada adegan GPS berkata 'Kiri Duri...Kanan Pun Berduri'. Hahahaha! Memang lucu! Apa - apapun, tahniah Nabil! Anda menghidupkan Maharaja Lawak pada minggu ini! Moga persembahan anda semakin menarik dan menghiburkan pada minggu hadapan!


Amir


Persembahan Amir pada minggu ini pula aku rasa macam malas sangat nak memberi sebarang komen. Apa yang aku nak cakap ialah Amir nih sebenarnya seorang yang penuh dengan idea dan mesej - mesej yang cuba disampaikannya sebenarnya menarik cuma mungkin sama ada mesej itu terlampau banyak sehingga dia tidak tahu yang mana satu perlu diberi keutamaan atau mungkin juga dia sebenarnya bukanlah dilahirkan untuk menjadi seorang pelawak. Bosanlah Amir! Lawak anda tak menjadi langsung! I'm Sorryyyyyyyyy!


Kumpulan Jambu


Kumpulan Jambu sekali lagi tampil dengan idea yang unik pada minggu ini. Mengambil sukan sebagai tema persembahan mereka membuatkan persembahan mereka kali ini sangat mantap kerana ini adalah lawak yang pertama kali dipersembahkan di dalam Maharaja Lawak dengan bentuk yang sebegini rupa. Langsung tidak menggunakan sebarang props tetapi aku seolah - olah sedang melihat meja ping pong, bulu tangkis, bola bowling dan sebagainya ada di atas pentas. Hahahaha. Mimik muka Yus dan Taugeh menjadikan persembahan mereka mampu difahami oleh penonton dengan mudah dan penonton ketawa dengan sendirinya apabila menonton gelagat mereka berdua ini di pentas. Tahniah kumpulan Jambu! Kalian memang hebat dan berbakat dalam menghiburkan penonton secara spontan. Aku sangat terhibur! Tahniah!


Man

 
Persembahn Man pada minggu ini nampaknya ada peningkatan yang sangat baik. Man kembali tampil dengan persembahan yang cukup bertenaga walaupun pada permulaan persembahannya kelihatan lesu sedikit. Kekuatan Man barangkali dengan meniru karakter manusia yang terkenal dan untuk minggu ini beliau mengambil watak Chef Wan sebagai 'mangsa' untuk persembahannya. Namun, mungkin kerana kebanyakkan watak yang dipersembahkan beliau ini sebenarnya pernah digunakan oleh Johan untuk bahan jenakanya suatu masa dulu menyebabkan tahap kepuasan untuk menonton persembahan Man ini kurang sedikit. Apa - apapun, masih menghiburkan dan tahniah Man! Persembahan yang baik pada minggu ini!


Kumpulan Sepah


Persembahan kumpulan Sepah pada minggu ini memang menghiburkan. Menggunakan ayat 'Saya Nak Barang' untuk mencetuskan humor dalam diri penonton sememangnya berjaya dilakukan mereka pada malam ini. Jadi, aku tidak faham kenapa Ahmad Idham berkata mereka perlu mengurangkan dialog yang diucapkan kerana kononnya dialog mereka terlalu banyak. Bagi aku sendiri, sebenarnya jumlah dialog kumpulan ini sememangnya sudah mencukupi dan cukup sesuai untuk memberi keadilan kepada ketiga - tiga orang mereka untuk memberi persembahan dan saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Lagi satu, apa yang aku lihat dialog mereka disusun cukup kemas dan dialog mereka hampir 80% mengundang hilai ketawa daripada para penonton. Jadi, aku merasakan persembahan kumpulan Sepah pada episod keenam ini sangat menghiburkan dan terbaik. Tahniah Sepah! Susunan kata yang cukup spontan tetapi logik dan yang paling penting menghiburkan! Tahniah!


Peserta Pilihan Hans Untuk Minggu Keenam :

  1. Sepah
  2. Jambu
  3. Nabil
  4. Balas
  5. Jozan
  6. Man
  7. Amir

P/S : Masing - Masing Ada Citarasa Tersendiri.
 

Sunday, 1 May 2011

Maharaja Lawak Episod Kelima




Pengacara:
AC Mizal

Juri:
Mamat Khalid, Ahmad Idham & Saiful Apek

Peserta - Peserta:
Rujuk Sini

Penyingkiran:
Jihan

Ulasan Hans:
Pada episod ke-5, tema yang diberikan adalah bebas dan kebanyakkan peserta mengambil jalan selamat dengan memperkembangkan atau menyambung kisah cerita lawak mereka pada minggu - minggu sebelum ini dan dipersembahkan kepada penonton pada episod kali ini. Persembahan pada minggu ini bagi aku agak mendatar seperti mana pada minggu lepas namun masih ada yang boleh dibanggakan. Jadi, aku akan memberi komen ringkas kepada semua aksi peserta maharaja lawak mengikut urutan persembahan mereka pada episod ke-5 ini.


Man



Persembahan Man pada minggu ini bagi aku sedikit lucu tetapi tiada kesegaran pada idea - idea yang dipersembahkan beliau. Mengambil karakter seorang pawang dan mempertaruhkan lawak - lawak seperti 'Fasha nak sandha' yang asalnya dipopularkan oleh Zizan dan mengambil jalan selamat dengan menggunakan karakter yang menjadi identiti lawak Man iaitu Datuk Fadzilah Kamsah dan Eric Leong sebenarnya sedikit membosankan kerana lebih kurang sama sahaja. Tahap lawaknya juga kadang - kadang meninggi dan kadang - kadang menghilang terus. Senang cakap lawa yang dipersembahkan Man pada minggu ini kurang panas dan kurang menarik namun masih ada unsur - unsur humor disitu. Moga minggu depan Man mempersembahkan lawak yang lebih asli dan menarik.


Nabil


Persembahan Nabil pada minggu ini menarik perhatian aku. Menjadikan Detektif Conan dan Makcik Cleaner sebagai objek yang menimbulkan suasana lucu pada penonton memang adalah pilihan yang tepat. Suara Nabil memang sama seperti siri detektif Conan yang dialih bahasa ke dalam bahasa Melayu dan itu memang membuatkan aku tidak kering gusi menonton persembahan Nabil. Cuma bagi aku watak Makcik Cleaner itu sepatutnya dikuatkan lagi kerana ia seolah - olah seperti tidak menyokong watak Detektif walaupun memang aku akui sedikit sebanyak unsur humor yang dipersembahkan melalui watak Makcik Cleaner yang bercakap loghat Negeri Sembilan itu memang membantu persembahan Nabil pada minggu ini. Apa - apapun, aku gembira menonton persembahan Nabil pada minggu ini. Tahniah Nabil!


Kumpulan Balas


Persembahan kumpulan Balas pada minggu ini amat menarik pada pandangan aku. Mempertaruhkan semula karakter Makcik Karipap yang kini beralih arah dengan menjadi penunggu di Lebuhraya Karak memang melucukan. Walaupun ada beberapa lawak mereka yang aku pernah dengar seperti kisah gadis yang terjun dari tingkat 80 dan disambut oleh 3 orang lelaki itu tetapi bagi aku lawak mereka minggu ini memang kreatif. Seperti biasa, kumpulan Balas memang terkenal dengan lawak 'Double Meaning' mereka cuma pada minggu ini lawak tersebut boleh diterima kerana ia tidak terlebih dan terkurang. Apa - apapun, lawak mereka minggu ini memang seronok untuk ditonton dan aku terhibur dengan lawak kumpulan ini. Tahniah kumpulan Balas.


Kumpulan Jambu


Persembahan Jambu pada minggu ini pula pada permulaanya menarik namun rentak lucunya tu sedikit menurun pada pengakhiran persembahan mereka. Namun, apa yang aku suka tentang kumpulan ini ialah lawak mereka pada setiap minggu memang lain dan semestinya unik serta menghiburkan. Cuma ada minggu ini lawak mereka seperti kurang panas sedikit. Maksud aku disini, apabila aku ketawa menonton dan tiba - tiba adegan selepas itu akan membuatkan ketawa aku terhenti secara tiba - tiba atau lebih tepat lagi aku tidak sempat untuk menikmati lawak mereka terlalu lama kerana akan ada lawak baru cuma malangnya disitu ialah lawak baru itu kurang menyengat berbanding lawak sebelum ini yang membuatkan aku senyum. Apa - apapun, persembahan kumpulan Jambu minggu ini masih hebat cuma aku mengharapkan persembahan yang lebih mantap pada minggu depan. Tahniah kumpualan Jambu.


Jihan


Persembahan Jihan pula minggu ini kurang menyengat walaupun idea yang dipersembahkan itu menarik. Mungkin sukar barangkali untuk seorang wanita berlawak secara spontan di hadapan penonton seperti mana yang Jihan sendiri akui sewaktu ucapan terakhir beliau selepas tersingkir pada minggu ini atau mungkin juga penerimaan rakyat Malaysia terhadap pelawak wanita adalah terhad. Apa - apapun, Jihan tetap seorang pelawak wanita yang hebat bagi aku. Aku kagum kerana beliau tidak menangis walaupun tersingkir. Tahniah Jihan. Moga rezeki anda di dalam bidang lakonan semakin mencurah - curah selepas ini!


Kumpulan Sepah



Persembahan Sepah pada minggu ini adalah sambungan pada persembahan terdahulu iaitu selepas kes merompak dimana Damak mengajak Shuib pergi ke klinik Gigi untuk membetulkan gigi beliau. Aku suka dengan karakter Shuib yang menjadikan Dafi sebagai salah satu unsor humor dalam lawaknya. Aku juga suka dengan riak wajah Damak yang mampu membangkitkan rasa komedi di dalam persembahan beliau. Memang melucukan dan karakter Damak dan Mamat juga memang membantu menjadikan situasi tersebut lebih lucu. Aku tak mahu komen banyak - banyak tapi apa aku boleh cakap mereka bertiga memang lucu dan plot cerita mereka tersusun kemas dan menarik. Tahniah Sepah! Aku sangat terhibur dengan persembahan kalian.


Amir


Persembahan Amir minggu ini kembali kepada minggu - minggu sebelumnya. Secara jujur persembahan Amir pada minggu lepas agak menarik dan ada mesej tetapi beliau tidak berjaya mengekalkan persembahan yang konsisten sebegitu pada minggu ini. Lawak Amir kadang - kadang sedikit melampau dan tidak kena dengan apa yang cuba disampaikannya walaupun diakui Amir semakin berani keluar daripada zon selesa sebelum ini. Amir! Tolonglah lakukan sesuatu! Persembahkan lawak yang betul - betul menarik atau ada isi. Aku bukannya disini untuk mengutuk Amir kerana bukan semua orang mampu berlawak cuma aku letih untuk melihat anda dikutuk oleh penonton lain. Silalah persembahkan lawak seperti mana pada minggu keempat. Itu adalah lebih baik dan menarik berbanding minggu ini. Apa yang aku perasan lawak pada minggu ke-5 ini ada mesej tetapi mesej itu dimusnahkan sendiri oleh Amir. Mungkin Amir terlalu selesa gara - gara pujian melambung yang diberikan oleh juri kepada beliau pada minggu lepas. Mungkin!


Kumpulan Jozan


Persembahan kumpulan Jozan pada minggu ini juga menarik. Seronok melihat karakter Zizan sebagai Mail Lambung iaitu seorang penarik kereta yang ganas dan kemudian terus menjadi sebaik - baik manusia apabila menyedari bahawa Johan adalah bakal abang ipar beliau. Komedi mereka minggu ini memang menarik cuma mesej mereka tidak sekuat persembahan mereka pada minggu - minggu sebelum ini iaitu minggu ke-4 dan ke-3. Apa - apapun, aku terhibur dengan persembahan mereka dan tahniah sekali lagi dari aku untuk Kumpulan Jozan. Menantikan persembahan lebih menarik dari kalian pada minggu hadapan.



Peserta Pilihan Hans Untuk Minggu Kelima :

  1. Sepah
  2. Jozan
  3. Balas
  4. Nabil
  5. Jambu
  6. Man
  7. Jihan
  8. Amir

P/S : Masing - Masing Ada Citarasa Tersendiri.
credit to hans

Tuesday, 26 April 2011

Maharaja Lawak Episod Keempat



Pengacara:
AC Mizal


Juri:
Mamat Khalid, Ahmad Idham & Saiful Apek


Peserta - Peserta:


Penyingkiran:
Alex


Ulasan Hans:

Pada episod ke-4, kebanyakkan peserta memberikan aksi yang kurang bertenaga tidak seperti pada minggu lepas. Persembahan minggu ini kebanyakkannya di selamatkan oleh peserta berkumpulan yang nyata memberikan persembahan yang sangat menarik dan segar. Jadi, aku akan memberi komen ringkas kepada semua aksi peserta maharaja lawak mengikut urutan persembahan mereka pada episod ke-4 ini.


Amir

Persembahan Amir pada minggu ini nampaknya ada banyak peningkatan. Akhirnya, dia telah menerima nasihat - nasihat juri dan mungkin juga orang - orang di luar sana dimana akhirnya persembahannya sudah tidak terkejar - kejar lagi dan setiap patah perkataan yang dituturkannya mampu ditangkap dan didengar oleh penonton. Walaupun, lawaknya tentang superhero kali ini ada yang menarik dan ada yang pernah didengar namun ini adalah salah satu proses peningkatan yang baiklah untuk Amir. Moga minggu depan persembahan beliau semakin meningkat. Dibandingkan persembahan minggu ini berbanding 3 minggu sebelumnya maka aku boleh katakan persembahan ini sebagai WOW tetapi masih belum cukup lagi. Teruskan usaha anda!


Kumpulan Jozan

Persembahan Jozan pada minggu ini adalah persembahan yang aku sangat nanti - nantikan. Mereka berani untuk mengetengahkan isu agama di dalam lawak mereka dan aku gembira kerana lawak mereka penuh dengan isi tersurat dan tersirat berbanding lawak peserta lain. Baru - baru ini ada juga segelintir manusia yang bising dengan lawak mereka pada minggu ini tetapi bagi aku itu adalah realiti manusia beragama Islam di Malaysia sekarang. Kadang - kadang solat kita tidak khusyuk oleh sebab - sebab seperti yang mereka tunjukkan di dalam lawak mereka kali ini. Dan di mana - mana sahaja kita boleh lihat atau dengar tentang kes kecurian tabung masjid, selipar dan sebagainya. Jadi, aku mengucapkan tahniah kepada kumpulan Jozan kerana lawak mereka kali ini bukan sekadar lawak kosong tetapi lawak yang mempunyai mesej dan sangat sinis. Tahniah sekali lagi untuk anda! Jozan terbaikkkk minggu nih!


Man

Persembahan Man pada minggu ini pula bagi aku kurang menarik. Memang ada juga lucunya tetapi aku rasa lawaknya seperti biasa sahaja pada minggu ini. Man perlu sedar dia kini sedang bertarung di dalam Maharaja Lawak dan bukannya Raja Lawak jadi idea yang lebih segar dan menarik perlu dipersembahkan kepada penonton. Apa - apapun, teruskan usaha anda Man! Moga berjaya pada minggu hadapan.


Jihan

Persembahan Jihan pada minggu ini juga kurang menyerlah. Persembahannya juga seperti Man di mana aku biasa dengar atau mampu di agak. Jihan perlu tampil dengan persembahan yang lebih segar dan memukau jika mahu bersaing lebih lama di dalam Maharaja Lawak ini. Teruskan usaha anda Jihan.


Kumpulan Sepah

Persembahan kumpulan Sepah pada minggu ini masih lucu dan tidak mengecewakan walaupun tidak setanding dengan persembahan mereka pada minggu lepas. Mungkin kerana genre yang berlainan namun setiap ahli kumpulan Sepah memang mempunyai kombinasi yang baik kerana masing - masing saling membantu antara satu sama lain yang menjadikan persembahan mereka mampu untuk menggeletek hati penonton - penonton di studio mahu pun di rumah. Tahniah kumpulan Sepah.


Alex

Persembahan Alex pada minggu ini tidak berseri pada pandangan aku. Aku tidak pasti sama ada ia tidak lucu atau Alex yang tidak memberikan sepenuh tenaga terhadap persembahannya seperti mana pada minggu lepas. Nampaknya rezeki Alex hanya setakat minggu ke empat ini sahaja. Apa - apapun, tahniah Alex kerana memang susah untuk membuat orang lain ketawa. Semoga berjaya di masa hadapan.


Nabil

Persembahan Nabil pada minggu ini seperti biasa memang menarik dan segar dengan idea - idea baru yang membuatkan aku tidak kering gusi kerana tidak henti - henti ketawa. Menjadikan mesin masa sebagai subjek lucu pada minggu ini serta mewujudkan watak seorang Pak Cik yang digelar budak Practical berwajah seperti orang Putus Haid memang menimbulkan suasana komedi yang bukannya sedidkit - sedikit. Seperti yang kita tahu, jika budak itu sedang menjalani latihan praktikal di mana - mana organisasi semestinya mereka dari kalangan pelajar universiti mahu pun kolej yang boleh dikategorikan sebagai golongan muda jadi apabila Nabil memanipulasikan budak praktikal itu kepada orang yang sudah pun tua maka memang ia telah mengubah hal tersebut menjadi cukup lucu. Tahniah Nabil! Imaginasi anda cukup kreatif! Tidak sabar menanti lawak anda pada minggu hadapan.


Kumpulan Balas

Persembahan Balas pada minggu ini biasa - biasa sahaja. Kumpulan ini memang gemar menggunakan lawak yang 'double meaning' tetapi jika ia sering kali digunakan sudah semestinya akan membuatkan penonton terasa bosan melihat persembahan mereka dan aku adalah salah seorang daripada penonton yang mengalami perasaan bosan tersebut. Persembahan mereka masih lucu tetapi aku harap mereka akan tampil dengan lawak yang lebih bermakna pada minggu hadapan. Moga persembahan kalian pada minggu hadapan lebih bernyawa dan ada identiti sendiri.


Kumpulan Jambu

Persembahan Kumpulan Jambu pada minggu ini memang menarik. Aku suka kumpulan ini kerana setiap minggu mereka akan tampil dengan lawak yang berlainan daripada kumpulan lain dan yang menariknya lawak mereka tidak tergolong dalam kategori 'Syok Sendiri' kerana persembahan mereka pada minggu ini memang betul - betul menghiburkan. Kali ini mereka memang beraksi hebat dengan menggunakan banyak tenaga untuk bergerak ke sana dan ke sini. Cuma sayangnya pada pengakhiran lawak ini di mana Yus mengangkat kaki berkali - kali seolah - olah mahu menendang mahu pun menyepak orang di sekelilingnya. Jika sekali dua sahaja tidak apa tetapi apabila ia dilakukan berkali - kali memang nampak kurang baik pada pandangan orang lain. Apa - apapun, tahniah kumpulan Jambu. Persembahan anda minggu ini memang menarik dan terbaik! Tahniah!


Peserta Pilihan Hans Untuk Minggu Keempat :

  1. Jozan
  2. Jambu
  3. Nabil
  4. Sepah
  5. Amir
  6. Man
  7. Balas
  8. Jihan
  9. Alex

P/S : Masing - Masing Ada Citarasa Tersendiri.
credit to hans

...Saya Suka Cantik & Sihat...